Saturday, October 29, 2016

157. TOK AYAH : ANAK KELAHIRAN PULAU TUKANG DOLAH, PENGKALAN CHEPA, NEGERI KELANTAN

Mantan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa hayatnya beberapa kali menziarahi Tok Ayah ;  Anak Kelantan di perantauan.

Saturday, October 15, 2016

156. TOK AYAH MENYAMBUT DYMM SULTAN KEDAH (TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH) PADA TAHUN 1980AN









Tuan Guru Haji Omar Zuhdi (depan; tengah)  diiringi oleh Tuan Haji Idris; Anak Tuan Guru Haji Mahmud (depan; paling kanan) sewaktu menyambut keberangkatan DYMM Sultan Kedah ke Masjid Parit Panjang;  sekarang ini dikenali sebagai Masjid Omar Zuhdi. 

Friday, September 9, 2016

155. PROF. DR. H. ABDUL MALIK KARIM AMRULLAH ( BUYA HAMKA): Anak Lelaki hidupnya ialah buat berjuang .... Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang.

HAMKA MENULIS:
"Anak lelaki tidak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahu telah dikayuhnya ke tengah, dia tidak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang.  Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang."

TOK AYAH HIDUP MERANTAU membawa diri ketika berumur belasan tahun dari Negeri Kelantan ke Negeri Kedah pada tahun 1930an.  Anak yatim yang kehilangan ibu sejak kecil ini mengembara seorang diri dengan bekalan hidup ala kadar dengan niat untuk menuntut ilmu agama sambil mencari kerja demi sesuap nasi bagi meneruskan kehidupannya.

Ketika berjalan seorang diri di Daerah Grik, Perak beliau telah dinasihatkan supaya tidak meneruskan perjalanan kerana didepannya adalah "Kawasan Bahaya Sumpitan Binatang Buas Oleh Orang Asli" tetapi dia tetap gigih untuk meneruskan perjalanannya.

Setelah berjaya melepasi "kawasan perangkap maut" itu, hari telah beransur malam menyebabkan beliau terpaksa memanjat pokok dan tidur di atas pokok itu dalam hutan rimba bagi mengelakkan binatang buas. 

Esok pagi dalam keadaan serba kekurangan, dia berjalan mengikuti denai untuk menyeberangi sungai sehingga berjumpa sebuah rumah @ bangsal di dalam hutan. 

Beliau hanya "membalik haluan pulang" ke Kelantan setelah mencapai cita-cita ketika melangkah keluar dari negeri kelahiran yang ditinggalkannya sejak bertahun lalu.....
RUJUKAN:Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah, pemilik nama pena HAMKA (lahir di Nagari Sungai BatangTanjung RayaKabupaten Agam,Sumatera Barat17 Februari 1908 – meninggal di Jakarta24 Juli 1981 pada umur 73 tahun) adalah seorang ulama dan sastrawan Indonesia.


Tuesday, September 6, 2016

154. PAGI HARI DI MISBAH AL-FALAH (SEKOLAH TOK AYAH)


BERMULA MENUNTUT ILMU ITU FARDHU DAN BAHAWASANYA ORANG YANG MENUNTUT ILMU ITU SESUNGGUHNYA MEMINTA AMPUN BAGINYA OLEH TIAP-TIAP SESUATU HINGGA IKAN YANG DI LAUT.

Hebatnya ketika ilmu itu memelihara akan dikau
Sedangkan engkau pula (terpaksa) memelihara ia akan hartamu 


Hakikatnya harta itu mengurang karena belanjamu

Tetapi anehnya ilmu pula sebaliknya kian bertambah ia, semakin diajar kepada orang

Sunday, September 4, 2016

153. MUQABALAH ULAMA' MENOLAK PUTUS SYIRIK AKBAR DAN ASGHAR SERTA AMALAN KHURAFAT DI ALAM MELAYU

Sekitar tahun 1970an, di atas kesedaran serta keinsafan melihat kepada kebanyakan umat Melayu di Kedah telah terjebak dalam pelbagai ajaran palsu telah mencetus Muqabalah di antara beberapa tokoh ulama tempatan yang antaranya:-

1.   Tuan Guru Omar Zuhdi Salleh, Madrasah Misbah Al-Falah, Banggol Berangan
2.   Tuan Guru Mahmood Nasri Othmani, Madrasah Misbah As-Salam, Lanai
3.   Tuan Guru Othman Yunusi, Madrasah An-Nadhoh, Bukit Besar
4.   Tuan Guru Abdul Aziz Ibrahim, Madrasah Al-Islah, Pendang
5.   Tuan Guru Ramli Senik, Pondok Batu Hampar, Pendang

IHSAN:  Ustaz Haji Idris bin Haji Mahmud Nasri Othmani

152. SENARAI GURU TOK AYAH

GURU DI MALAYA

1.   Tuan Guru Sheikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir (Pak Da 'ell)
2.   Tuan Guru Haji Abdul Rahman
3.   Tuan Guru Ali Salehudin
4.   Tuan Guru Haji Sulong
5.   Tuan Guru Haji Yahaya bin Taha
6.   Tuan Guru Sheikh Othman Jalaludin

GURU DI- MAKKAH AL- MUKARRAMAH

1.   Sheikh Abdul Kadir Al-Mandiling
2.   Sheikh Ali Al-Makki
3.   Sheikh Hassan Al-Yamani (Bekas Mufti Terengganu)
4.   Sheikh Hassan Al-Mashath
5.   Sheikh Afnani Al-Jawwa
6.   Sheikh Abdul Rahman Shobath Al-Fathani
7.   Sheikh Ku Jalil Al-Qadhi
8.   Sheikh Pak Nik Leh Al-Kelantani
9.   Sheikh Muhammad Yasin Syobari
10. Sheikh Muhammad Yasin Isa Al-Padani (Indonesia)
11. Sheikh Muhammad Ahid Makkatul Mukarramah      

IHSAN:  Ustaz Haji Idris bin Haji Mahmud Nasri Othmani

Tuesday, August 30, 2016

151. Mengambil berat kaedah menghafal NAHU BAHASA ARAB

Beliau menulis NAHU (TATABAHASA) BAHASA 'ARAB sambil meminta anaknya menghafal dan membaca semula di hadapannya tanpa melihat nota yang ditulis sebelum itu.  
Dia mengambil berat serta akan mempastikan anak itu "menghafal dengan lancar" sebelum meneruskan hafalan selanjutnya.....

Tok Ayah mahir NAHU 'ARAB serta mampu mengajar tanpa merujuk kitab walaupun sudah berpuluh tahun meninggalkan pengajiannya di Makkah 

Saturday, July 23, 2016

150. ULAMA' BESAR ALAM MELAYU, TUAN GURU HAJI SALEH TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH PADA 22 JULAI 2016


Assalamualaikum
Dukacita dimaklumkan, Tuan Guru Hj. Salleh (Barisan paling bawah; 7 dari KANAN) telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 8:15 malam tadi.

Jenazah akan dibawa pulang ke Pondok Sik, Kedah pada malam ini dari Hosital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.


Solat jenazah dijangka akan dilaksanakan pada jam 10 pagi; 23 Julai 2016 di Sik. 

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه
واجعله من عبادك الصالحين مع الانبياء والمرسلين

Sumber : Syeikh Alauddin Abu Bakar

Wednesday, March 30, 2016

148. CUCU TG HAJI OMAR ZUHDI: OMAR ZUHDI DAN OMAR AZ-ZUHDI

Omar Zuhdi (Kiri) dan Omar Az-Zuhdi; keduanya dilahirkan pada tahun 1997 iaitu 3 tahun selepas TG Haji Omar Zuhdi meninggal dunia. 

Friday, March 18, 2016

144. BERHIJRAH SEORANG DIRI MELALUI THAILAND DARI KELANTAN KE KEDAH

Setelah mendalami pengajian agama di Kelantan, Tok Ayah berhijrah   ke Kedah dengan menaiki keretapi melalui Thailand ketika berusia 17 tahun pada tahun 1936. 

Setibanya di Padang Besar(Perlis),  beliau terus ke Alor Setar iaitu ke Pondok Pak Chu Hin di Gajah Mati (Kedah) untuk menziarahi Tuan Guru tersebut selain mengambil kesempatan untuk menadah kitab.

Apabila kehabisan duit, dia mengambil upah melakukan kerja kampung untuk menyara hidupnya ketika menuntut ilmu itu.

Monday, March 14, 2016

143. PENGGANTI TOK AYAH

Ketika seorang kenalan bertanya mengenai siapakah penggantinya di Madrasah Misbah Al-Falah suatu hari nanti, Tok Ayah hanya tersenyum sambil memberitahu:

"Orang yang hidup, nanti tahulah dema (mereka) uruskannya...."


Sunday, March 13, 2016

142. RAMLAH AISYA, CUCU KE-22 DARIPADA 23 ORANG CUCU PEREMPUAN HAJAH RAMLAH & TOK AYAH



Ramlah A. yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin akan berbual dalam bahasa itu ketika memesan "Mee Tarik Szechuan" dengan Saudara Islamnya dari Negara China.


141. TOK AYAH TENGGELAM BERSAMA KUDANYA, DISANGKA SUDAH MENINGGAL DUNIA

Tok Ayah selalu menunggang kuda melintasi sungai Kuala Pegang, Baling untuk ke Parit Panjang dari Kupang, Baling pada tahun 1950an. Suatu hari rakit yang selalu digunakan untuk menyeberangi sungai tiba-tiba hanyut.  

Beliau mengambil keputusan untuk melintasi sungai itu dengan seekor kuda peliharaannya biarpun kedalaman sungai itu boleh melemaskan orang dewasa.

Rakan beliau mulanya menjangka Tok Ayah sudah meninggal dunia apabila melihat beliau dan kudanya tenggelam dalam arus sungai. 

140. TOK AYAH: DUGAAN SILIH BERGANTI SEPANJANG JALAN

Ibu kandungnya meninggal ketika dia masih kecil dalam kesusahan hidup keluarganya.  Ayahnya kadangkala kelihatan terlalu bertegas.  
Umar (nama panggilan di Kelantan) mengambil keputusan membawa diri dengan mengembara seorang diri untuk menuntut ilmu agama walaupun ketiadaan wang saraan semuda usia 17 tahun. Kadangkala dia dibantu oleh insan yang kasihan kepadanya.  
Ketika awal penghijrahannya, dia terkandas seorang diri dalam hutan tebal pada waktu malam, memaksanya tidur di atas pokok bagi mengelakkan binatang buas. Kemudian beliau dipelihara oleh ibu angkat kerana demam panas yang berpanjangan di Grik, Perak mengganti ibu kandung yang telah tiada. 

Beliau mengambil upah dimana-mana sambil menuntut ilmu. Ada wang, dia akan belajar seadanya. Sekiranya putus bekalan makanan, beliau akan pergi membanting tulang untuk mencari sesuap nasi

Jika kehabisan makanan, dia akan mengikat perut dengan batu tanpa memberitahu sesiapapun ketika menanggung penderitaannya yang berhari-hari kelaparan.

Diberitakan ketika pertama kali kembali semula ke Kelantan beberapa tahun kemudian, dia memohon ampun maaf kepada Ayah sambil mengeluarkan sedikit wang yang dia ada untuk membayar semula wang yang "dipinjam" sebelum berhijrah.

Ada ahli keluarganya yang menangis ketika itu....

Saturday, March 12, 2016

139. INSYAALLAH, RAMAI YANG SEDIA BERKORBAN UNTUK MISBAH AL-FALAH

Madrasah ini  ditubuhkan sejak 58 tahun yang lalu (1958/2016) atas pengorbanan Tok Ayah yang berhijrah dari negeri Kelantan Darulnaim dalam tahun 1940an. 

Misbah Al-Falah selama ini memberi sumbangan ilmu agama kepada beribu insan untuk "menadah kitab" sejak generasi ke generasi di seluruh negara. 

Insyaallah, waris / murid serta anggota masyarakat yang prihatin sedia berkorban untuk menjaganya bagi meneruskan kesinambungan tradisi  pengajian agama di sini. 


138. PELAJAR LAMA SANGGUP BERKORBAN

Ustaz Mohd Ani Lazim, 56 memberitahu biarpun dibayar elaun bulanan hanya RM250 sejak 25 tahun yang lalu (1981), dia tetap berazam untuk meneruskan khidmat sehingga nafas yang terakhir.

Pada tahun 2006, saya pernah berehat sebentar dari berkhidmat selama 5 tahun, waktu itu saya bekerja dengan menoreh getah dengan harga RM5/kilogram.

"Walaupun nilainya banyak, hati saya tetap tidak tenteram, buat macam-macam kerja serba tidak kena, akhirnya saya kembali menyumbang bakti disini biarpun pernah terlintas untuk tidak lagi mahu mengajar".

Thursday, March 10, 2016

137. KERANA NAMA

Namanya Omar Zuhdi; sama dengan nama Datuknya 
(Tuan Guru Haji Omar Zuhdi). 

Omar Zuhdi Cucu Omar Zuhdi dilahirkan 78 tahun selepas kelahiran Datuk (1997/1919) dan  2 tahun 10 bulan setelah ketiadaan Datuknya (24.10.1997/24.12.1994).


Nama Datuk Omar Zuhdi & Cucu Omar Zuhdi   yang sama dan sebutan yang berulang-ulang telah mengelirukan Jururawat di Hospital, Telefonis salah sangka di Pejabat Telekom, Pengawas tersilap di Sekolah dan Kerani menjadi serba tidak pasti di Pusat Urus Zakat.


Monday, February 29, 2016

134. BEKERJA SENDIRI UNTUK MEMBUKA MADRASAH BAGI MENYEBARKAN ILMU AGAMA

Tok Ayah enggan disebut sebagai seorang guru dalam catatan rekod sekolah anaknya kerana ini memberi gambaran bahawa dia diberi gaji yang tetap.

Sebaliknya beliau hanya mahu dikenali sebagai seorang yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap serta memberitahu soal rezeki dalam hidupnya ini, terpulanglah kepada kurniaan Allah semata-mata.

Hasrat beliau hanya mahu membuka peluang seluasnya kepada anggota masyarakat sekitar untuk menuntut ilmu di Madrasah ini dan tidak mahu soal kewangan menjadi halangan kepada sesiapapun untuk menuntut ilmu yang disampaikannya.


Sunday, February 28, 2016

133. MELANJUTKAN PELAJARAN KE MAKKAH SELAMA 5 TAHUN

Setelah belajar agama di beberapa buah pondok di Negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah; Tok Ayah berangkat ke Masjidil Haram, Makkah pada awal tahun 1950an untuk mendalami ilmu agama dengan meninggalkan dua orang anak kecilnya Khadijah dan Aishah di Malaya.

Beliau berguru dengan Sheikh Ali Al Maliki (Mufti Makkah), Sheikh Mohd Ahya', Sheikh Hasan Masyat, Sheikh Alwi, Sheikh Afnan, Sheikh Abdul Qadir Al Mandili, Sheikh Yasin Padang dan Sheikh AlFatani (Pak Da Ail) di Masjidil Haram, Makkah.

Saturday, February 27, 2016

132. MENAHAN LAPAR DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN UNTUK MENUNTUT ILMU

Pada tahun 1940an, Tuan Guru Haji Yahya (Mudir Yayasan Khairiah, Kupang) telah meminta muridnya untuk  "membelah buloh" sebagai persediaan bagi mengadakan suatu majlis.

Sebagai murid, Tok Ayah sebelum itu telah pergi mengadap Tuan Guru Haji Yahya, memberitahu bahawa dia hanya tahu melakukan tugas "meraut buloh" sahaja (tugas yang lebih ringan) sambil memaklumkan dia tidak pandai melakukan tugas "membelah buloh".

Sebenarnya, Tok Ayah tidak memberitahu sesiapapun ketika itu bahawa "beliau  sudah tidak makan beberapa hari kerana kesusahan hidupnya" dan dia sudah tidak berdaya lagi untuk "membelah buloh" (kerja yang lebih berat).

Thursday, February 25, 2016

131. BERPAKAIAN SERBA SEDERHANA

Walaupun dijemput sebagai tetamu utama dalam sesuatu majlis, beliau akan hadir hanya dengan memakai pakaian yang serba ringkas seperti kebiasaannya dalam kehidupan seharian. 

Sekiranya pihak penganjur majlis beranggapan bahawa beliau akan berpakaian seperti orang kenamaan, mereka memang akan melakukan kesilapan  kerana Tok Ayah tidak ambil kisah mengenai cara berpakaian seperti orang lain.

Pihak penganjur yang tidak mengenali dia, pernah tersilap  menyambut "tetamu ini" lalu mereka dengan segera bergegas  semula ke kereta tetapi di dalamnya hanyalah ada seorang tua berpakaian "sangat sederhana" yang sedang membalut rokok daun sambil tersenyum.....


Wednesday, February 24, 2016

130. TUAN GURU HAJI AWANG LANAI ADALAH MURID TOK AYAH




Almarhum Tuan Guru Hj Omar Zuhdi @ TOK AYAH (KIRI), Pengasas Madrasah Misbah Al-Falah (Pondok Lanai). TOK AYAH merupakan seorang Alim A'llamah dan zuhud.  Beliau mendapat gelaran "Zuhdi" dari gurunya sewaktu menuntut ilmu di MAKKAH.

TOK AYAH juga merupakan guru kepada Tuan Guru Hj Wahab Hassan (KANAN) yang menuntut ilmu dengan TOK AYAH selama 20 tahun di Pondok Lanai.
Tok Guru pernah menceritakan bahawa Tok Ayah Hj Omar Zuhdi menghafal 50 "matan@nazam" didalam pelbagai disiplin ilmu; antaranya,
TOK AYAH amat menekankan sistem hafalan,maka tidak asinglah muridnya Tok Guru Hj Wahab dikenali juga sbgai"tok guru matan" kerana setiap kali beliau mengajar,pasti di selit dengan matan-matan ,ini kerana matan merupakan syahid@hujah bg sesuatu pendapat didalam kitab.

IHSAN:  FB Tuan Guru Awang lanai


Saturday, February 20, 2016

129. BERHIJRAH SEORANG DIRI UNTUK MENUNTUT ILMU AGAMA


Beliau berhijrah seorang diri pada tahun 1936 ketika berumur 17 tahun dari Negeri Kelantan ke Kedah (mengikut kaki; untung harap) dalam keadaan serba kekurangan hanya dengan niat untuk menuntut ilmu agama.

Soal kelaparan, kesunyian, ancaman binatang buas serta cabaran hidup adalah perkara yang "biasa" baginya.  Beliau pernah tidur di atas pokok dalam hutan tebal ketika perjalanannya seorang diri "berhenti" di waktu malam.


Sunday, January 24, 2016

127. ... HAJI BUKAN NAMA SAYA.

KETIKA MEMPERKENALKAN NAMANYA SEBAGAI OMAR ZUHDI, SEORANG TETAMU CUBA MENDAPATKAN PENGESAHAN ADAKAH BELIAU TIADA GELARAN HAJI?


Tok Ayah hanya tersenyum sambil memberitahu tetamu itu:

"HAJI BUKAN NAMA SAYA".



Saturday, January 23, 2016

126. PENDAPAT BELIAU DIPERLUKAN

Sekiranya ada isu penting yang melibatkan masyarakat setempat, Tok Ayah biasanya akan diminta untuk memberi pendapatnya. 

Orang ramai mahu beliau sendiri menyata dan mengesahkan pendiriannya  mengenai sesuatu perkara itu, bukan melalui sumber yang lain. 

Thursday, January 21, 2016

125. ... MARAH KEPADA ANAK ADA HADNYA

Suatu hari Tok Ayah memberitahu tetamunya bahawa perasaan marah kepada anak dalam sesuatu perkara perlu ada hadnya

Kawal kemarahan kerana akhirnya anak tetap anak dan suatu hari ia akan balik ke rumah serta membawa balik tanggungjawab ibu bapa itu kepada kita jua. 

Monday, January 18, 2016

124. LAMPU PELITA MINYAK TANAH MEMENUHI HALAMAN RUMAHNYA



Murid terawal yang menuntut ilmu di Madrasah Misbah tahun 1960an memberitahu ketika Tok Ayah giat mengajar agama di malam hari dan awal pagi, pelita minyak tanah yang digunakan oleh murid akan menerangi kegelapan malam di halaman rumahnya sewaktu beliau menyampaikan bacaan kitab umumi selepas maghrib, isya dan subuh.

Sekiranya  ada api yang terpadam kerana ditiup angin,  muridnya akan bersilih-ganti berusaha untuk menghidupkan semula api pelita bagi meneruskan bacaan kitab masing-masing.

Sunday, January 17, 2016

123. GUNA DAYA INGATAN KETIKA MENGAJAR

Menurut murid awal beliau (TG Haji Abdul Wahab Hasan), TG Haji Omar Zuhdi tidak pernah melihat kitab ketika mengajar Nahu 'Arab (Matan Ujrimiah) dan hanya menggunakan ingatan hafalannya ketika mengajar.

Friday, January 15, 2016

122. TIDAK PERNAH BERUCAP DIKHALAYAK RAMAI SEBAGAI AHLI PIDATO

Seingat anak bongsu beliau, Tok Ayah lebih berminat mengajar (menyampaikan ilmu) sambil duduk bersila. Dia selesa mengajar secara lisan tanpa menggunakan papan tulis ; memang beliau bukanlah seorang ahli pidato yang gemar berucap di khalayak ramai.

Ketika mengajar, dia tidak kisah untuk membawa anak kecil sambil duduk di atas riba.  Murid kena bersabar jika anaknya meragam kerana dia akan mengambil masa untuk menenangkan anak itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...